BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 24, 2009

Kebaikan Susu Ibu

Asli atau tiruan? Lazimnya kebanyakan orang tanpa ragu-ragu akan memilih yang asli. Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang merelakan susu formula iaitu barang tiruan menjadi makanan pertama anak mereka. Mengapa susu formula atau susu tiruan ini dikecualikan sedangkan masyarakat sedar walau sebaik manapun sesuatu barang tiruan, ia tidak akan sebaik barangan asli?
Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu menggalakkan semua ibu menyusukan anaknya dengan susu ibu sahaja selama enam bulan atau dikenali sebagai penyusuan eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun. Makanan tambahan pula hanya dimulakan semasa anak berumur enam bulan. Kebanyakan ibu hanya mampu menyusukan anak mereka sehingga dua bulan atau sepanjang tempoh berpantang dan apabila mereka kembali bekerja, ramai yang mengambil jalan mudah dengan memberikan susu formula. Ada juga segelintir wanita yang baru bersalin langsung tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka sejak dilahirkan walaupun menyedari susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.
Menurut perangkaan 88.6 peratus ibu-ibu di Malaysia pernah menyusukan anak. Ini bermakna 11.4 peratus ibu tidak pernah menyusukan anak mereka! Daripada 88.6 peratus ibu yang pernah memberikan susu, hanya 29 peratus yang mampu menyusukan bayi mereka secara eksklusif dan hanya 11.7 peratus yang menyambung penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun.
KEBAIKAN SUSU IBU
Menurut Penolong Pengarah Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Siti Mariam Ali, susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi. Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi dari penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran. “Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi tersebut. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan,” katanya kepada Bernama.
Katanya susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum yang berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan.
Antaranya ialah mengeluarkan mekonium (najis bayi di awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi dari jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus sekaligus mencegah alahan dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus. “Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan tersebut boleh merosakkan ususnya dan menyebabkan alahan,” katanya. Selain itu susu ibu juga melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis, dan cirit-birit. Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari. Selain itu susu ibu turut mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.
FAEDAH TERSEMBUNYI
Terdapat banyak faedah lain yang diperolehi oleh bayi, ibu, keluarga mahupun masyarakat. Mungkin kebaikan-kebaikan ini nampak remeh tetapi ia sebenarnya memberikan kesan kepada kehidupan kita seharian.
“Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu. “Bayi yang menyusu ibu akan jarang dijangkiti penyakit, membolehkan ibu bapa bekerja dengan senang hati tanpa perlu mengambil cuti untuk menjaga anak yang tidak sihat, selain meningkatkan produktiviti,” kata Siti Mariam. Menyusukan bayi juga turut memberikan faedah kepada ibu tersebut dengan merendahkan risiko terhadap barah payudara dan ovari, mengelakkan pendarahan selepas bersalin, menjarakkan kelahiran kerana penyusuan merupakan cara perancang keluarga semulajadi, mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut. Penyusuan susu ibu juga akan menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan untuk rawatan perubatan kerana bayi yang menyusu ibu jarang sakit. “Katakan anda memilih untuk membeli pam pemerah susu yang mahal, kos pembelian itu masih murah dibandingkan dengan kos untuk susu formula yang perlu dibeli setiap bulan. “Pam yang menggunakan bateri walaupun berharga lebih kurang RM200, boleh digunakan sehingga dua atau tiga tahun. Jika susu formula, setin berharga lebih kurang RM30. Berapa jumlahnya sebulan? Berapa yang boleh dijimatkan dalam setahun?” katanya. Selain itu, penyusuan susu ibu juga membantu mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu, lebih masa terluang bersama keluarga, dan menyumbang kepada objektif negara dalam perancangan keluarga.
KEKURANGAN SUSU FORMULA
Antara kekurangan ketara susu formula ialah khasiatnya tidak akan sama dengan khasiat susu ibu walaupun pelbagai zat tambahan dimasukkan seperti Omega3, Docosahexanoic (DHA), Arachidonic acid (AA), dan vitamin B12. “Masih tidak ada kajian yang boleh menentukan kadar sebenar sesuatu zat yang diperlukan oleh bayi. Berbeza dengan susu ibu, kandungan zatnya akan berubah mengikut keperluan,” katanya.
Zat-zat tambahan dalam susu formula juga membawa kesan sampingan lain seperti protein, walaupun ia telah diubah tetapi masih sukar dihadam manakala zat besi pula sukar untuk diserap, katanya. Bayi yang diberikan susu formula juga terdedah kepada pencemaran bakteria apabila air bancuhan, peralatan botol dan puting tidak dibersihkan dengan sempurna. “Bakteria membiak dengan cepat terutamanya jika susu dibiarkan dalam cuaca panas. Walaupun belum berbau masam atau basi, ia masih boleh membahayakan bayi,” katanya. Bayi juga tidak mendapat perlindungan daripada pelbagai penyakit kerana susu formula tidak mengandungi antibodi menyebabkan bayi yang diberi susu formula lebih kerap mendapat jangkitan penyakit seperti cirit-birit, demam, selesema, batuk dan alahan walaupun susunya dibuat secara bersih. Terdapat juga risiko kekurangan zat makanan jika susu dibancuh terlalu cair ataupun jika dibancuh terlalu pekat, ia boleh mengakibatkan sembelit atau kerosakan pada organ tertentu. “Sebab itu kita melihat ramai bayi yang mengalami kegemukan, mereka mendapat lebih zat daripada sepatutnya,” kata Siti Mariam. Berbeza dengan susu ibu, susu formula juga tidak mengandungi enzim. Ini melambatkan penghadaman dan menyukarkan tenaga dibekalkan kepada bayi.
BAHAYA AIR
Selain susu formula, kebanyakan ibu bapa juga cenderung untuk memberikan air kepada bayi mereka dengan alasan mengelakkan bayi daripada haus, badan panas, sembelit atau untuk mencuci mulut bayi. Siti Mariam berkata alasan-alasan tersebut adalah tidak berasas kerana susu ibu mengandungi 88 peratus air dan bayi yang hanya diberikan susu ibu dijamin akan mendapat cukup air.
Amalan memberikan air kepada bayi sebenarnya boleh mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko termasuk merencatkan tumbesaran dan akal, mengancam nyawa serta mengakibatkan sawan tarik. “Perut bayi yang baru lahir hanya memerlukan empat sudu kecil kolosterum (2ml) dan jumlah ini akan meningkat kepada 40 sudu (200ml) hanya setelah bayi menjangkau umur setahun,” katanya. Oleh itu tumbesaran bayi yang diberikan air akan terencat kerana perutnya yang kecil itu sepatutnya diisi dengan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat untuk membantu tumbesarannya. Air juga boleh menjadi pembawa kuman kerana pencemaran boleh berlaku di pelbagai peringkat sama ada sumber air atau bekas yang tidak bersih. Ini akan mendedahkan bayi kepada cirit-birit. Air juga akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai jangkitan. Bagi bayi yang mengidap jaundis, air yang terlalu banyak boleh merencatkan akal manakala bagi yang berumur di bawah lima minggu, air yang terlalu banyak akan mencairkan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan yang rendah, kembung atau sawan tarik.

Osteoporosis

Osteoporosis adalah keadaan kemerosotan kepadatan normal tulang, menyebabkan tulang menjadi rapuh. Ia menyumbang kepada keadaan poros tulang dan menjadikan tulang seperti span dan rapuh dari dalam. Masalah yang berlaku pada tulang rangka ini melemahkannya dan menyebabkan risiko tulang retak atau patah semakin meningkat. Tulang normal mengandungi protein, kolagen dan kalsium yang menjadikannya kuat. Tulang yang mempunyai masalah osteoporosis pula boleh retak hanya disebabkan kecederaan ringan yang biasanya tidak boleh menyebabkan tulang patah. Keretakan boleh terjadi sama ada dalam bentuk retak (seperti pinggul retak) atau rekahan mampat pada tulang vertebra tulang belakang. Tulang belakang, pinggul dan pinggang adalah kawasan yang biasa mengalami retak tulang yang turut berkemungkinan berlaku pada tulang rangka lain.Dianggarkan satu daripada tiga wanita dan satu daripada 12 lelaki berumur melebihi 50 tahun kini menderita akibat osteoporosis di seluruh dunia. Kos bagi rawatan osteoporosis seluruh dunia untuk semua peringkat umur pula dijangka meningkat kepada AS$131.5 bilion (RM432.4 bilion) menjelang 2050. Selain itu, insiden keretakan pinggul di seluruh dunia dijangka meningkat sebanyak 240 peratus bagi wanita dan 310 peratus bagi lelaki menjelang 2050.
Simptom
Osteoporosis tidak mempunyai simptom khusus melainkan berlakunya retak tulang dengan mudah.Sesetengah retak osteoporosis sukar dikesan sehingga bertahun-tahun lamanya sehinggakan pesakit sendiri tidak sedar dirinya mengalami osteoporosis sehingga mengalami retak tulang yang menyakitkan.Retak di bahagian vertebra tulang belakang boleh menyebabkan kesakitan teruk dari bahagian belakang hingga ke sisi badan. Selepas beberapa tahun, keretakan tulang belakang boleh berulang dan menyebabkan kesakitan kronik bahagian belakang terutamanya di pinggang dan pinggul yang kelihatan seperti berbonggol.Retakan yang berlaku secara normal dipanggil retakan trauma minimum atau retak stres. Contohnya, sesetengah pesakit yang mengalami osteoporosis boleh menyebabkan retak stres lebih teruk di kaki ketika berjalan. Retak pinggul pula biasanya berlaku disebabkan terjatuh. Di kalangan penghidap osteoporosis, retak pinggul boleh berlaku walaupun hanya disebabkan kemalangan kecil. Retak pinggul juga sukar dirawat kerana kualiti tulang yang teruk.

Ruam Lampin Kanak-Kanak

BAGAIMANA BERLAKU? Ruam lampin adalah suatu reaksi yang berlaku pada kulit bayi akibat sentuhan kulit yang lama terhadap air kencing dan najis. Ini berlaku apabila bayi dibiarkan memakai lampin yang basah untuk jangka masa yang lama.Faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan ruam lampin mudah terjadi ialah:Geseran antara dua permukaan kulit yang basah. Kesan enzim yang terdapat dalam najis merosakkan permukaan kulit.PH air kencing dan najis yang tidak sesuai dengan permukaan kulit menyebabkan berlakunya reaksi kulit.Apabila reaksi kulit berlaku, hilang keupayaan permukaan kulit sebagai pelindung–menyebabkan kerosakan bertambah teruk. Bahagian kulit yang biasanya terlibat ialah pada bahagian punggung, di sekeliling kemaluan dan bahagian atas paha. SIMPTOM Antara simptom-simptom ruam lampin ialah: Bahagian kulit berwarna kemerah-merahan dan kadangkala berkuping haIus. Kulit berasa kasar dan gatal. Bagi ruam yang teruk, terdapat luka luka kecil pada kulit, terutama pada bahagian lipatan kulit. Ini menyebabkan bayi merasa sakit dan menangis pada setiap kali basah (membuang air). Ruam lampin kerap kali dijangkiti oleh sejenis kuman kulat yang dipanggil Candida albican. Kulat ini biasanya terdapat di dalam najis bayi yang normal. Apabila berlaku jangkitan Candida pada ruam lampin, keadaan akan menjadi lebih teruk. Lampin bayi perlu ditukar dengan kerap apabila basah untuk mengelakkan ruam lampin. Jangkitan Candida akan bergerak lebih mudah ke bahagian kulit lain, terutama di bahagian leher, celah ketiak, di kelilingpunggung dan adakala sampai ke muka. Jangkitan berlaku apabila bayi menggaru dari satu bahagian kulit ke bahagian kulityang lain. Kulat ini juga suka hidup di bahagian kulit yang berpeluh seperti di lipatan-lipatan kulit. Tanda-tanda yang kelihatan apabila ruam lampin dijangkiti Candida ialah warna kulit yang kemerahan dan berkilat di kelilingi oleh bintik-bintik kulit yang berkuping. Keadaan ini sangat gatal dan bayi akan lebih banyak menggaru dan merasa gelisah. PENCEGAHAN Ruam lampin boleh dicegah dengan menyapu krim pelindung pada punggung dan di sekeliling kemaluan bayi sewaktu menukarlampin. Antara krim pelindung ini termasuklah campuran yang mengandungi zink oksida, jeli petroleum, minyak cod liner dan calamine. Ibu dinasihatkan agar mengelakkan dari menggunakan seluar dalam plastik dan lampin bayi perlu ditukar dengan kerap apabila basah. Lampin buatan baru yang lebih menyerap air adalah baik, tetapi harganya lebih mahal. Bagaimanapun, lampin jenis ini perlu diganti apabila permukaan kulit bayi didapati basah. RAWATAN Apabila bayi telah terkena ruam lampin, langkah yang paling baik ialah mengelakkan dari memakaikan lampin kepada bayi. Ini kerana permukaan kulit yang rosak lebih sensitif kepada geseran. Seboleh bolehnya biarkan bayi tanpa lampin dengan menutup bahagian kemaluan dan punggung dengan kain yang lembut dan longgar. Krim yang sesuai digunakan pada masa ini ialah yang mengandungi Hydrocortisone (1-2%) yang disapu di bahagian terlibat dua atau tiga kali sehari. Jika terdapat jangkitan Candida, gunakan krim pembunuh kulat seperti Nystatin atau krim Miconazole yang disapu tiga kali sehari. Bayi yang kerap mengalami ruam lampin perlu dirujuk kepada pakar kulit untuk memastikan ia bukan jenis penyakit kulit yang serius. (credit to berundu laut, S.Alam) Sekiranya anak kita jenis kulit sensitif, mudah terkena ruam saya sarankan agar menggunakan diaper ichiban yang dreka khas untuk bayi berkulit sensitif.

Khasiat Halia

Bagi wanita yang mengalami masalah haid seperti dismenorrea dan amenorrea,halia juga dikatakan amat berguna.Ramuan yang dihasilkan daripada sekeping halia yang telah di tumbuk dan direndam dalam secawan air selama beberapa minit manpu memberikan khasiat merawat sakit akibat haid.Ambillah ramuan ini dan kemudian campur dengan sedikit gula sebanyak tiga kali sehari selepas makan.Dipercayai juga halia amat bernilai sebagai ubat penaik nafsu dan amat berguna dalam merawat kelemahan tenaga batin.Dikatakan bagi mendapatkan hasil yang baik,ambillah setengah sudu jus halia berserta dengan telur separuh masak dan sedikit madu,sekali waktu malam selama sebulan.Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kegunaan halia,namun sebelum menggunakannya hendaklah mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu

Satu juta menderita psoriasis


PSORIASIS merupakan salah satu penyakit kulit tertua dan sering disalah anggap. Menurut data terkini, dianggarkan tiga hingga lima peratus daripada penduduk dunia menghidapi psoriasis. Ini juga bermakna terdapat hampir satu juta rakyat Malaysia yang menderita penyakit ini.
Sering dianggap sebagai penyakit yang tidak boleh diubati, psoriasis merupakan penyakit sistem imuniti badan menyerang yang diri sendiri atau dikenali sebagai autoimun yang berulang tetapi tidak berjangkit. Ia terjadi tanpa mengenal jantina. Ia juga boleh terjadi pada semua peringkat umur, walaupun kebiasaannya berlaku buat pertama kalinya pada peringkat umur di antara 15 hingga 25 tahun.
Punca
Punca sebenar psoriasis tidak diketahui, tetapi ia dipercayai mempunyai komponen genetik yang tinggi. Faktor-faktor yang menyebabkan psoriasis menjadi bertambah buruk termasuklah tekanan, pemberhentian pengambilan kortikosteroid, pengambilan alkohol yang berlebihan, merokok, jangkitan, kecederaan kulit dan tindak balas terhadap bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu.
Tahap jangkitan psoriasis bermula dari tompok-tompok kecil di satu bahagian sehinggalah ke keseluruhan permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok-tompok bersisik dikenali sebagai plak psoriatik. Ia merupakan bahagian-bahagian keradangan dengan pengeluaran kulit yang berlebihan.
Kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang ini dan lapisan keras ini mengakibatkan sel-sel mati berwarna perak. Ia sering didapati di kulit di bahagian siku dan lutut, tetapi juga boleh dijangkiti di mana-mana bahagian badan termasuklah kulit kepala dan kemaluan. Luka radang boleh mengakibatkan kepedihan, kegatalan dan kelihatan hodoh. Malah, psoriasis menyerang fizikal dan emosi pesakit.
"Meskipun pelbagai kajian telah dijalankan mengenai kesan terhadap kualiti kehidupan pesakit, penyelesaian menyeluruh untuk mencegah kesan-kesan buruk penyakit tersebut yang mana ia masih kurang diutamakan dalam agenda kesihatan negara, terutamanya di kalangan negara-negara Asia", ujar Dr. Steven Chow, Setiausaha Agung, Liga Persatuan Dermatologi ASEAN (LADS), pertubuhan serantau yang bermatlamat untuk membangunkan dan meningkatkan tahap kesihatan kulit di rantau Asean.
Gejala
Bergantung kepada tahap dan lokasi masalah psoriasis, individu kemungkinan mengalami ketidakselesaan dan kecacatan fizikal yang kecil atau besar. Kegatalan dan kesakitan boleh mengganggu fungsi asas seperti penjagaan diri, berjalan dan tidur.
Plak di tangan dan kaki boleh menghalang individu dari melakukan pekerjaan tertentu, menyertai aktiviti sukan, menjaga ahli keluarga ataupun rumah.
Plak di kulit kepala boleh menjadi satu perkara yang memalukan kerana kepingan bersisik boleh menjadi masalah kelemumur. Penjagaan perubatan kemungkinan mahal dan memerlukan banyak masa dan mengganggu aktiviti pekerjaan atau sekolah.
Individu yang mengalami psoriasis mungkin merasa malu mengenai diri mereka dan mempunyai rasa rendah diri bimbang dijauhi masyarakat atau kebimbangan mengenai psikoseksual. Masalah psikologi boleh menyebabkan kemurungan dan pengasingan sosial.
Ini disokong oleh kajian yang dilaksanakan oleh Yayasan Psoriasis Kebangsaan Amerika Syarikat, 2008 bersama 426 pesakit psoriasis, di mana 71 peratus daripada mereka menganggap penyakit ini merupakan masalah besar dalam kehidupan seharian mereka.
Pada masa sama, kajian berasingan melaporkan psoriasis juga memberi kesan terhadap kualiti kehidupan berasaskan kesihatan, terutamanya kepada 10 sehingga 30 peratus pesakit, yang juga mungkin mengalami artritis psoriatik.
Ia juga mengakibatkan kesan buruk terhadap penyakit-penyakit kronik lain seperti kemurungan, bengkak jantung (myocardium infarction), hipertensi, kegagalan jantung kongestif atau kencing manis jenis 2. Pesakit yang menghidapi psoriasis yang teruk juga menunjukkan jangka hayat yang lebih pendek.
Kerjasama
"Oleh kerana tiada ubat yang dapat menyembuhkannya, psoriasis akan terus menjadi masalah serius sehinggalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan-kerajaan memperakuinya sebagai satu penyakit serius dan menggandingkan sumber-sumber untuk menangani kelemahan dalam program kesedaran awam, diagnosis perubatan dan akses kepada rawatan serta rangkaian sokongan untuk berjuta-juta penduduk di Asia.
"Dengan kajian semasa, pemahaman lebih baik, rawatan dan panduan terkini, peluang untuk pencegahan awal dan mencegah kecacatan daripada artritis psoriatik serta mempertingkatkan penyembuhan keseluruhan para pesakit untuk seumur hidup, kini boleh dilaksanakan," kata Dr. Chow.
Dr. Chow juga menekankan bahawa pemacu kritikal untuk mempertingkatkan amalan dan rawatan kesedaran di seluruh Asia akan dilaksanakan dalam bentuk Pendaftaran Psoriasis serantau, bakal meningkat dan menyelaraskan penyelidikan, diagnosis dan rawatan.
"Ilmu adalah kuasa. Bayangkan kita mempunyai pangkalan data yang membolehkan kita mengkaji dan mengenalpasti strategi perantaraan Psoriasis terbaik untuk penduduk-penduduk Asia.
"Data tersebut akan mengambil kira pelbagai budaya, gaya hidup dan amalan pemakanan pilihan. Ini akan membantu kami memahami dengan lebih baik dan membangunkan program untuk disasarkan kepada keperluan dan kepentingan pesakit Asia," katanya.
Sebagai contohnya, Dr. Chow menyatakan tiada bukti sains bahawa modulasi pemakanan boleh menyembuhkan penyakit tersebut walaupun secara amnya penduduk Asia percaya bahawa makanan-makanan tertentu perlu dihindari.
Menurutnya lagi, terdapat kecenderungan pesakit di Asia yang mencari perubatan herba asli atau tradisional tempatan, yang berkemungkinan tidak berkesan malah menghalang proses penyembuhan. Kebanyakannya telah dibuktikan mempunyai kandungan steroid dan lain-lain bahan toksik yang berbahaya.
Perkongsian
"Perkongsian data dan maklumat menerusi pendaftaran serantau bukan sahaja menjadi langkah ke arah menyatukan pembangunan dan rawatan berkesan psoriasis di seluruh rantau ini malah ia juga akan membentuk asas untuk penyelidikan dan program pada masa hadapan bagi menangani psoriasis untuk para pesakit Asia."
Bagi menyelaraskan maklumat dan merangka pembangunan pendaftaran, Jawatankuasa LADS, yang diwakili oleh ketua-ketua masyarakat dermatologi kebangsaan ASEAN di samping lebih daripada 300 ahli dermatologi terkemuka di seluruh negara "Asean + 5" akan berkumpul di mesyuarat Satelit 2009 di Hanoi, Vietnam bermula dari 5 hingga 7 November, 2009.
"Pada pertemuan ini, para delegasi akan dapat berkongsi pengalaman mengenai rawatan terkini menggunakan bahan biologi dan mengkaji semula usaha dalam menambah baik modaliti rawatan terdahulu.
"Objektif utamanya adalah untuk membolehkan para doktor menggunakan rawatan yang lebih baik untuk pesakit-pesakit individu menggunakan kombinasi inovatif perubatan sedia ada dan yang terkini," tambah Dr. Chow.
Mesyurat Satelit ini juga akan menyaksikan pelancaran Akademi Dermatologi dan Venereologi Asia ditubuhkan khas untuk pembangunan dermatologi Asia bagi alaf ini.
"Yang penting, usaha-usaha kami ini bermatlamat untuk menyediakan penjagaan yang lebih baik buat para pesakit. Kami berharap sokongan kami akan memberi kesan yang baik di mana psoriasis akan diiiktiraf sebagai penyakit kronik penting dan sumber-sumber dan keutamaan diberikan terhadap rawatan oleh pihak-pihak kerajaan di rantau Asia."
Mitos
Seperti penyakit kulit yang lain, psoriasis jelas kelihatan oleh mata kasar. Bagi kebanyakan orang, reaksi semulajadi kita adalah kehairanan apakah puncanya, sama ada psoriasis ini berjangkit (sebenarnya ia tidak) atau sama ada mereka yang dijangkiti tidak menjaga kebersihan, mengalami masalah kemurungan dan kadang kala mereka yang dijangkiti dianggap sebagai balasan di atas kejahatan mereka.
Berikut merupakan mitos umum mengenai psioriasis:
Mitos 1: "Psoriasis berjangkit."
Fakta: Psoriasis, terutamanya dalam bentuk sederhana atau teruk, mudah kelihatan di permukaan kulit. Disebabkan pertumbuhan abnormal sel kulit, tompok-tompok merah bersisik di kulit akan kelihatan.
Walau bagaimanapun, psoriasis tidak berjangkit. Anda tidak boleh dijangkiti penyakit ini daripada orang lain dan anda juga tidak boleh memindahkannya kepada orang lain hanya dengan menyentuh mereka atau dekat dengan mereka.
Mitos 2: "Psoriasis hanyalah penyakit kulit. Satu masalah kosmetik."
Fakta: Psoriasis merupakan penyakit kronik dalam sistem imuniti badan yang menyebabkan pertumbuhan sel kulit yang tidak normal.
Sementara sel kulit biasa matang dalam masa 28 ke 30 hari dan ia gugur daripada permukaan kulit tanpa disedari, sel kulit psoriatik mengambil masa hanya 3 hingga 4 hari untuk matang dan timbul di permukaan kulit, menyebabkan sel-sel berlapis-lapis dan membentuk luka bersisik.
Luka psoriasis mengakibatkan kepedihan dan kegatalan, dan ia boleh pecah dan berdarah. Di antara 30 hingga 50 peratus daripada pesakit psoriasis menghidapi artritis psoriasis yang menyebabkan kesakitan, kekejangan dan pembengkakan pada dan sekitar sendi-sendi.
Keradangan kulit psoriasis boleh mengakibatkan masalah-masalah lain. Terdapat bukti-bukti yang semakin meningkat mengaitkannya dengan masalah kesihatan yang lebih serius seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis, penyakit hati, kemurungan dan obesiti.
Mitoh 3: "Psoriasis hanya memberi kesan kepada pesakit secara fizikal sahaja."
Fakta: Selain daripada masalah fizikal akibat penyakit tersebut, terdapat juga kesan psikologi dan emosi dialami pesakit psoriasis. Mereka yang menghidapi psoriasis sering dilaporkan mengalami perasaan tidak berdaya, putus harapan, marah, kekecewaan dan kemurungan berkaitan keadaan kulit mereka dan bagaimana reaksi orang lain terhadap keadaan mereka.
Terdapat pesakit yang menghidapi psoriasis yang teruk mengalami tekanan sehingga ingin membunuh diri. Kebanyakan individu bertindak terhadap keadaan mereka dengan memakai pakaian untuk menyembunyikan penyakit mereka, mengehadkan aktiviti-aktiviti harian seperti berenang atau ke gim jika ia akan mengakibatkan renungan tajam daripada orang ramai ataupun komen negatif.
Pesakit psoriasis sering membandingkan disfungsi dan kecacatan mereka dengan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis atau penyakit jantung.
Mitos 4: "Psoriasis berpunca akibat tidak menjaga kebersihan."
Fakta: Psoriasis merupakan satu penyakit sistem imuniti badan dan tiada kena mengena dengan tidak menjaga kebersihan. Punca yang boleh menyebabkan psoriasis termasuklah jangkitan, tekanan atau kebimbangan, perubahan hormon, kecederaan kulit, alkohol, obesiti, pemakanan tidak sihat, dan ubat-ubatan tertentu.
Mitos 5: "Psoriasis boleh diubati"
Fakta: Psoriasis merupakan penyakit kronik, dialami seumur hidup. Tiada ubat yang boleh menyembuhkannya pada masa ini, tetapi dengan pilihan rawatan terbaru dan sedia ada yang telah dipertingkatkan, pesakit kini mempunyai pelbagai kaedah untuk membantu mengawal simptom psoriasis.
Sehingga ubat bagi menyembuhkan psoriasis ditemui, kajian farmaseutikal akan terus berusaha untuk mencari lebih banyak lagi rawatan yang lebih berkesan.
Kajian mengenai sistem imun badan telah menghasilkan ubat biologi baru yang menyasarkan punca keadaan tersebut.
Mitos 6: "Psoriasis mudah didiagnosis."
Fakta: Kebanyakan keadaan-keadaan yang memberi kesan kepada kulit kelihatan lebih kurang sama, sebagai contohnya simptom-simptom awal psoriasis, seperti kegatalan dan tompok-tompok merah, kelihatan sama seperti ekzema atau atopik dermatitis.
Ini kadang kala boleh menyebabkan penyakit ini susah didiagnosis. Adalah penting untuk berjumpa doktor yang boleh membuat ujian tertentu bagi membuat diagnosis yang betul.
Mitos 7: "Psoriasis tidak boleh diwarisi."
Fakta: Sementara kebanyakan pesakit tiada keturunan keluarga yang menghidapi psoriasis, terdapat hubungan genetik dengan anggarkan 40 hingga 60 peratus daripada pesakit dengan penyakit ini. Pelbagai kajian menunjukkan kecenderungan genetik, atau kecenderungan diwarisi, bagi pesakit-pesakit ini menghidap psoriasis.
Mempunyai kecenderungan genetik bagaimanapun tidak bermakna seorang individu akan mendapat penyakit tersebut. Faktor yang boleh mencetuskan penyakit ini adalah seperti kecederaan atau infeksi, mungkin bertindak dengan beberapa gen, atau corak keturunan spesifik gen, yang bertindakbalas menyebabkan psoriasis.

Perut buncit berisiko mati awal?



KEGEMUKAN merupakan antara masalah lazim yang dialami oleh ramai wanita di negara ini dan di seluruh dunia.Masalah tersebut bukan saja menggambarkan amalan pemakanan seseorang yang tidak betul, bahkan lebih buruk ia kerap diiringi dengan pelbagai penyakit termasuk jantung dan darah tinggi.
Dalam pada itu, kajian terbaru mendapati bahawa wanita mempunyai ukur lilit pinggang yang besar mempunyai risiko meninggal dunia lebih awal berbanding dengan mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang yang lebih kecil.
Kajian yang dibuat oleh Universiti Harvard dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat, menunjukkan wanita yang berpinggang besar lebih cenderung untuk menghidap penyakit yang berkaitan jantung ataupun kanser, walaupun hakikatnya mereka mempunyai berat badan yang ideal dengan ketinggian mereka.
Terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan pengumpulan lemak di bahagian pinggang sebenarnya meningkatkan risiko penyakit.
Untuk menjalankan kajian ini, para penyelidik telah membuat analisis data daripada lebih 44,000 orang wanita diikuti dengan sejarah kesihatan lebih 1,000 jururawat berdaftar di 11 negeri.
"Seperti apa yang dapat diperoleh daripada kajian NIH Obesity Research Task Force, kesan cabaran akibat obesiti, penemuan terbaru menunjukkan bahawa penyelidikan dapat memainkan peranan dalam pemahaman tentang risiko obesiti," jelas Pengarah NIH, Elias A. Zerhouni.
Kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian tersebut diketuai oleh Cuilin Zhang dari NIH, Eunice Kennedy Shriver dari Institut Kesihatan Kebangsaan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia (NICHD).
Dana untuk menjalankan kajian ini pula diperoleh daripada NIH, Institut Kanser Kebangsaan dan Institut Diabetis, Pencernaan dan Buah Pinggang Kebangsaan. Kajian ini disokong oleh Institut Darah, Paru-paru dan Jantung Kebangsaan. Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam Internet menerusi laman web Circulation.
Semakin hari semakin banyak bukti yang mengaitkan lemak berlebihan di abdomen dengan risiko penyakit diabetes dan jantung. Bagaimanapun perkaitan antara obesiti di bahagian abdomen dengan risiko kematian masih belum dikaji secara meluas.
Kajian terkini menunjukkan bahawa kegemukan di abdomen ada kaitan dengan kematian awal.
Para penyelidik yang menjalankan kajian terhadap 44,000 wanita telah mengikuti rekod sejarah kesihatan dan gaya hidup mereka.
Disebabkan majoriti daripada wanita yang mengambil bahagian dalam kajian itu ialah wanita kulit putih, para penyelidik tidak begitu pasti sama ada hasil kajian mereka boleh digunapakai untuk wanita mahupun lelaki daripada bangsa lain.
Semua wanita yang terlibat dalam kajian pula terdiri daripada jururawat berdaftar. Pada awal kajian dibuat, mereka diminta untuk mengukur ukur lilit pinggang dan paha mereka.
Setiap dua tahun, kumpulan wanita ini diminta untuk mengisi borang kaji selidik tentang kesihatan mereka, memberikan maklumat tentang umur, tahap aktiviti luar, status merokok, diet, tekanan darah dan paras kolesterol.
Para penyelidik ini turut mengkaji punca kematian bagi wanita yang didapati meninggal dunia ketika tempoh kajian ini berlangsung iaitu sebanyak 3,507 kematian dan daripada jumlah itu 1,748 diakibatkan oleh kanser, manakala 751 kerana penyakit berkaitan jantung.
Para penyelidik turut mendapati bahawa wanita yang mempunyai lemak berlebihan di pinggang lebih berisiko untuk mati lebih awal kerana komplikasi jantung berbanding dengan mereka yang berpinggang kecil.
Sebagai contoh, wanita yang bersaiz pinggang sama atau lebih daripada 35 inci dianggarkan untuk meninggal lebih dua kali lebih awal kerana penyakit jantung berbanding dengan wanita yang bersaiz pinggang 28 inci sahaja (mengenepikan indeks berat badan). Sama juga risiko bagi mereka ini untuk meninggal akibat kanser.
Pada masa yang sama, wanita yang mengalami obesiti turut berisiko untuk berhadapan maut lebih awal daripada usia yang sepatutnya.
Menurut para penyelidik, obesiti ditentukan menerusi indeks berat badan (BMI) yang mengukur kesesuaian antara ketinggian seseorang dengan berat badan mereka.
BMI antara 18.5 dikategorikan berat badan yang ideal dan sihat, manakala BMI 30 hingga 39.9 adalah obes.
Saiz ukur lilit pinggang wanita yang lebar adalah tanda pengumpulan lemak berlebihan pada bahagian depan perut, istilah ini dipanggil abdominal obesity.
Menurut kajian Panduan Klinikal Untuk Mengenalpasti, Memerhati dan Rawatan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Kalangan Orang Dewasa, saiz had pinggang yang sihat ialah 35 inci bagi wanita dan lelaki 40 inci. Saiz ukur lilit pinggang ini boleh diukur keliling pinggang dari paras pusat.
Menurut Dr. Zhang, dalam tahun 2004 lebih daripada satu setengah orang dewasa Amerika mengalami abdominal obesity.